11 Jun 2024, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan sebanyak RM144.9 bilion, naik 6.6 peratus dari tahun ke tahun pada April 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bahawa peningkatan itu didorong oleh kenaikan 5.5 peratus atau RM3.3 bilion dalam subsektor perdagangan runcit kepada RM63.8 bilion.

“Perdagangan borong juga meningkat dengan mencatatkan 4.8 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM63.8 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 18.1 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM17.3 bilion,” katanya.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit jatuh -0.6 peratus daripada bulan sebelumnya disebabkan oleh penurunan yang dicatatkan dalam kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing merosot -8.2 peratus dan -0.4 peratus.

Mengenai prestasi subsektor, beliau berkata bahawa pertumbuhan 5.5 peratus dari tahun ke tahun (dalam perdagangan runcit April disumbangkan oleh jualan kedai bukan pengkhususan yang meningkat 5.2 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM24.7 bilion).

Beliau juga berkata, peningkatan 4.8 peratus tahun ke tahun bagi subsektor perdagangan borong disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong melonjak RM1.0 bilion atau 4.2 peratus kepada RM23.9 bilion. Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong turun -0.4 peratus.

“Pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 18.1 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada April didorong oleh jualan kenderaan bermotor naik 26.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM8.6 bilion.

“Hal ini diikuti dengan jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (11.8 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (13.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata, bagi perbandingan bulanan, subsektor itu menguncup -8.2 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor (-13.4 peratus) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-21.2 peratus).

Perdagangan borong dan runcit April mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus, disumbangkan dengan semua subsektor, iaitu kenderaan bermotor (17.1 peratus), perdagangan runcit (3.5 peratus) dan perdagangan borong (2.7 peratus) dari segi indeks volum.

Bagi indeks volum pelarasan musim, indeks itu meningkat semula kepada 5.5 peratus bulan ke bulan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.