10 Jun 2024, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia terus meningkat sebanyak 6.1 peratus dari tahun ke tahun pada April 2024, didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP semakin pesat pada April selepas mencatatkan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif selama empat bulan berturut-turut.

IPP April juga menandakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak September 2022, disokong oleh pengembangan merentasi semua sektor pada bulan tersebut.

Pengeluaran sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus dan sektor elektrik kekal stabil pada kadar 7.6 peratus.

“Peningkatan dalam output pembuatan pada April 2024 disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan eksport, iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.

“Kenaikan tersebut diteraju terutama oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis, dan pembuatan kimia dan produk kimia yang mencatat peningkatan masing-masing sebanyak 5.9 peratus dan 5.0 peratus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bahawa pembuatan perabot juga mengalami lonjakan sebanyak 13.1 peratus pada bulan berkenaan.

“Pengembangan dari tahun ke tahun ini selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024 dan perbandingan dari bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport turun 11.6 peratus berbanding dengan pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024,” katanya.

Sementara itu, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan 9.5 peratus berbanding dengan 3.1 peratus pada Mac 2024, terutama didorong pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.2 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.

Beliau berkata, lonjakan 10 peratus dalam sektor perlombongan dipacu oleh pertumbuhan dua angka sebanyak 14.9 peratus dalam pengeluaran gas asli manakala minyak mentah dan keluaran kondensat meningkat semula sebanyak 3.5 peratus.

Prestasi IPP bagi tempoh Januari hingga April 2024 bertambah baik sebanyak 3.9 peratus berbanding dengan 1.3 peratus pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Pada tempoh berkenaan, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan, indeks pembuatan dan indeks elektrik,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.