10 Jun 2024, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa jumlah penganggur dalam negara menyaksikan sedikit penurunan kepada 566.4 ribu orang hingga April 2024. Jumlah berkenaan sekali gus mencatatkan kadar pengangguran dalam negara sebanyak 3.3 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, sebanyak 79.7 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun ialah sebanyak 6.7 peratus dalam kalangan penganggur aktif.

DOSM turut menyatakan bahawa kadar pengangguran bagi belia berumur 15 tahun hingga 24 tahun tidak berubah, iaitu 10.6 peratus pada April 2024 dengan merekodkan 305.9 ribu orang penganggur.

Bilangan penduduk bekerja pada bulan April 2024 terus merekodkan peningkatan dengan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.56 juta orang berbanding dengan bulan sebelumnya.

“Pasaran buruh pada bulan April 2024 kekal stabil, mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menggalakkan.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada April 2024 meningkat sebanyak 0.1 peratus, mencatatkan 17.12 juta orang (Mac 2024: 17.10 juta orang), dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” kata beliau.

Beliau yang turut mengulas lanjut tentang kedudukan guna tenaga berkata, kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan April 2024.

“Kumpulan itu meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.43 juta orang. Pada masa sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.04 juta orang,” jelas beliau lagi.

Berhubung dengan guna tenaga mengikut sektor ekonomi pula, sektor perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti maklumat dan komunikasi, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Trend yang sama dalam bilangan penduduk bekerja juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta sektor pertanian pada bulan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.