5 Jun 2024, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, “Pada era globalisasi ini, golongan wanita semakin giat menceburkan diri dalam dunia keusahawanan dan telah berjaya dalam bidang perniagaan yang sesungguhnya merupakan perkembangan positif dalam memberikan peluang untuk menjana pendapatan yang lumayan”.

“Kemajuan penglibatan golongan wanita dalam dunia keusahawanan dapat dibuktikan apabila lahirnya cukup banyak usahawan wanita yang mempelopori pelbagai bidang keusahawanan.”

“Peranan dan kebolehan kaum wanita dalam dunia keusahawanan secara tidak langsung juga mewujudkan beberapa persatuan atau pertubuhan seperti Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam usaha untuk memajukan usahawan wanita dengan moto “Women in Search of Excellence (WISE)”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Pemangku Raja Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Women in Search of Excellence (WISE) di Kangar.

Program ini dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Pengerusi YTF disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Yang turut menyambut Baginda ialah Pengarah Pembangunan Usahawan MARA, Nor Uyon Shoib dan Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin.

Sementara itu, Datuk Zulfikri Osman memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 3,222 orang usahawan dari negeri Perlis telah menerima manfaat hasil daripada skim pembiayaan, program latihan serta penyediaan premis perniagaan MARA dari tahun 2021 hingga tahun 2024.

MARA turut menyediakan sebanyak 342 lot ruang niaga daripada 7,281 premis yang tersedia di seluruh negara.

“Pada tahun 2024, MARA Perlis telah menerima dana pembiayaan perniagaan yang berjumlah hampir RM10 juta ringgit yang mensasarkan sebanyak 97 usahawan yang akan menerima manfaat ini. Setakat 31 Mei 2024, hampir RM7 juta ringgit telah diperuntukkan kepada 47 orang usahawan melalui skim pembiayaan seperti SPIM, SPIKE, PROSPEC, PUTEK, SPED-NANO, PUTRA dan Dana Nita. 22 orang usahawan daripada jumlah ini ialah golongan wanita,” tambah beliau lagi.

Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan pembiayaan MARA kepada Azriena Yop dari Syarikat Haquettta Sdn. Bhd, Siti Nur Diana Kamis dari Syarikat ML Racing Shop, Intan Norsaidah Ghazali dari Syarikat Hasnulintan Berkat Sdn. Bhd, Suffiah Walid dari Syarikat Bina Niaga Sdn. Bhd. dan Marziyah Ismail dari Syarikat Smart World Management Malaysia Sdn. Bhd.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan agar cabaran dan persaingan dalam dunia perniagaan perlu dijadikan pembakar semangat bagi meningkatkan potensi dan kebolehan kaum wanita yang telah membuktikan bahawa perniagaan global pada hari ini mampu diterokai dan ditangani oleh kaum wanita dengan baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.