Diterbitkan pada 1 Jun 2024, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya Permohonan bagi program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula pada hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung dengan keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

“Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu, sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi,” maklum Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan melalui BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Kementerian Kewangann berkata, kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu ialah pemohon yang merupakan warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan berjumlah RM100,000 dan ke bawah.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” tambahnya.

Sementara itu, kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi pula ialah pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), selain pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

Menurut Kementerian Kewangan, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.  Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima pada setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh Semenanjung Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi