31 Mei 2024, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2023 (ST4 2023) yang diterbitkan pada hari ini melaporkan bahawa median upah bulanan pekerja sektor formal naik 4.9 peratus dari tahun ke tahun kepada RM2,900 pada Disember 2023.

Upah meliputi semua ganjaran kepada pekerja dalam bentuk wang termasuklah bonus, komisen dan elaun dalam tempoh rujukan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pekerja formal warganegara Malaysia ialah sebanyak 6.67 juta orang pada Disember 2023, menokok 1.8 peratus jika dibandingkan dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Dari sudut pekerja formal mengikut jantina, pekerja formal lelaki meliputi 55.5 peratus daripada keseluruhan pekerja formal atau bersamaan dengan 3.70 juta orang pada bulan Disember 2023.

“Median upah bulanan pekerja formal lelaki ialah sebanyak RM2,945 manakala pekerja formal perempuan yang merangkumi 44.5 peratus (2.97 juta orang) daripada keseluruhan pekerja formal menerima RM2,845.”

Kumpulan umur 45 tahun hingga 49 tahun menerima median upah bulanan yang tertinggi sebanyak RM3,927.

Beliau berkata, kumpulan umur itu juga menerima median upah bulanan tertinggi pada Oktober (RM3,500) dan November (RM3,500).

Sementara itu, median upah bulanan pekerja formal warganegara Malaysia di bawah umur 20 tahun ialah RM1,500 pada bulan Disember, kekal tidak berubah selama 19 bulan berturut-turut.

Mengenai situasi upah mengikut aktiviti ekonomi, beliau berkata, pada ST4 2023 semua sektor merekodkan peningkatan dari tahun ke tahun median upah bulanan dengan sektor perlombongan dan pengkuarian menerima median upah bulanan yang tertinggi, iaitu RM6,844 walaupun hanya mewakili 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal.

Mohd Uzir berkata, median upah bulanan menunjukkan peningkatan positif dari tahun ke tahun bagi semua negeri pada tiga bulan terakhir 2023.

“Tiga negeri yang mencatatkan median upah bulanan lebih tinggi berbanding dengan median upah bulanan nasional RM2,900 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan median upah bulanan tertinggi, iaitu RM4,045 diikuti Pulau Pinang (RM3,245), dan Selangor (RM3,164).

“Kelantan, Perlis dan Sabah pula mencatatkan median upah bulanan yang terendah dengan masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,700 dan RM1,882.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.