29 Mei 2024, 21:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar terus meningkat sebanyak 1.9 peratus dari tahun ke tahun pada bulan April 2024. Pada bulan Mac 2024, IHPR meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun.

Dalam laporan bulanan terbaharunya mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan untuk bulan April 2024, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor mencatatkan peningkatan pada bulan itu yang menyumbang kepada peningkatan indeks keseluruhan.

Beliau berkata, sektor perlombongan terus melonjak 10.0 peratus, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah (12.3 peratus) dan pengekstrakan gas asli (3.5 peratus).

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat 5.4 peratus, dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan dengan masing-masing naik sebanyak 9.2 peratus dan 2.9 peratus.

“Selain itu, sektor perkilangan mencatatkan peningkatan kecil, iaitu sebanyak 0.8 peratus disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (8.9 peratus).

“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 1.0 peratus, manakala indeks bekalan air mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan 1.6 peratus pada bulan Mac 2024.

Sektor perlombongan berkembang 2.1 peratus, iaitu disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah dan pengekstrakan gas asli manakala sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat pada kadar yang lebih perlahan, iaitu sebanyak 0.7 peratus berbanding dengan 4.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Sektor pembuatan meningkat sedikit, iaitu sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan produk makanan, manakala indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air dengan masing-masing meningkat 0.3 peratus dan 1.1 peratus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.