29 Mei 2024, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap aset dan kekuatan yang beroperasi di Padang Besar hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan kawasan ini lebih mesra pengunjung.

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Plaza Niaga Padang Besar dan Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat di Padang Besar (Utara), Perlis.

Yang turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung Baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail. Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengurus Besar PKENPs, Nor Saike Kassim.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Syarikat Bakau Jaya Development Sdn Bhd yang dimiliki oleh PKENPs dan MPK.

Baginda bertitah agar pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil pendekatan penyuraian trafik dan pengurusan parkir yang sistematik khususnya di kawasan tumpuan di Padang Besar bagi mengatasi kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti perayaan dan pemasangan papan tanda yang jelas.

Langkah itu secara tidak langsung memberikan kelegaan terutamanya kepada pengguna pengangkutan awam dan pengunjung dari luar Perlis, serta memudahkan para peniaga.

Baginda bertitah, Padang Besar mempunyai potensi tinggi yang berperanan sebagai sebagai pusat sehentian (one stop centre) untuk pelbagai barangan termasuklah barangan isi rumah, makanan dan minuman, pakaian, barangan sukan, aksesori kenderaan dan pelbagai produk bagi sektor perdagangan antara negara sempadan.

Baginda bertitah;

Pengusaha produk tempatan disarankan untuk meningkatkan lagi tahap produk keluaran dan barangan yang dijual di Padang Besar ini bagi memastikannya berkualiti dan secara tidak langsung dapat menarik minat pembeli dan ingin berkunjung semula.

Setiap pengusaha juga perlu memastikan makanan bersih dan enak serta barangan yang dijual haruslah setanding atau berpatutan dan tidak terlalu mahal terutamanya pada musim cuti umum dan cuti sekolah”, titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Tuanku Pemangku Raja turut menyeru agar rakyat Perlis dapat mengambil segala peluang bagi meningkatkan lagi pendapatan melalui segala kemudahan infrastruktur dan prasarana yang telah disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi untuk menjanakan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.