24 Mei 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tokyo – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh peluang pelaburan sebanyak RM1.45 bilion dan eksport bernilai RM550 juta semasa pertemuan dengan syarikat Jepun sempena lawatan kerja singkat Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dari 22 Mei 2024 hingga 24 Mei 2024.

Menurut MITI, beberapa projek yang disokong oleh pelaburan tersebut dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Projek tersebut diharapkan dapat membantu Malaysia memperkukuhkan ekosistem dalam bidang semikonduktor, tenaga boleh baharu, dan teknologi hijau.

Beberapa projek ini juga dianggap sebagai pemangkin penting dalam mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang tahun 2050.

Syarikat yang terlibat dalam pertemuan dengan MITI termasuk IHI Corporation, Nisshin Oillio Group, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS Holdings, Mitsubishi Corporation, dan Tokyo Gas.

Pertemuan bersama syarikat Jepun di Tokyo tersebut telah dipimpin oleh Anwar yang turut dihadiri oleh Tengku Zafrul.

“Kita menyambut baik projek pembesaran yang diumumkan oleh pelabur Jepun sedia ada, merangkumi pelbagai sektor strategik seperti semikonduktor, kimia dan petrokimia, tenaga boleh baharu, minyak dan gas, serta minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit,” kata Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga berbesar hati  atas perolehan potensi pelaburan sebanyak RM1.45 bilion dan potensi eksport RM550 juta hasil daripada lawatan ringkas ini.

“Projek tersebut mencerminkan keyakinan berterusan pelabur Jepun terhadap landskap perindustrian Malaysia, yang sedang menjalani inisiatif transformasi utama seperti yang tercatat dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR),” kata Tengku Zafrul.

“Pada tahun 2023, Jepun adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dan merupakan pelabur keempat terbesar dalam sektor pembuatan .”

Sehingga tahun 2023 juga , sebanyak 2,810 projek pembuatan yang melibatkan Jepun telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM102.11 bilion (US$29.67 juta), mencipta sebanyak 344,120 peluang pekerjaan.

Dengan penekanan pada pembangunan mampan dan aktiviti pembuatan mewah, MITI dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), akan terus mempergiatkan usaha bersama Jepun untuk memperkukuh perkongsian yang berfaedah.

Menurutnya, pelabur Jepun dialu-alukan untuk melabur dalam sektor yang digalakkan seperti semikonduktor, aeroangkasa, kimia dan petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik, farmaseutikal, teknologi hijau, dan tenaga boleh baharu.

Semasa Persidangan Nikkei 2024 yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Tengku Zafrul juga menjadi ahli panel dalam sesi bertajuk “Circular Economy to Support Asian Growth” (Ekonomi Sirkular untuk Sokong Pertumbuhan Asia).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.