20 Mei 2024, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023. Perkara ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan bahawa eksport pada April 2024 meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut sejajar dengan pemulihan perdagangan global.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.”

Eksport ke Asean, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China (China) pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Hal ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia.

MITI berkata import pada April 2024 meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM107.02 bilion disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.

Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak sebanyak RM7.7 bilion bagi bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020.

MITI turut melaporkan bahawa empat bulan pertama tahun 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport, dan import dengan perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.

Eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22bilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.

Sementara itu, bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 masing-masing lebih rendah sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus berbanding pada Mac 2024.

“Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan dalam perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan, Asean, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain itu, MITI berkata eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.