16 Mei 2024, 21:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Prestasi pasaran harta tanah suku pertama 2024 (S1 2024) terus mengukuh dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing menokok 17.2 peratus dan 34.3 peratus kepada 104,297 transaksi bernilai RM56.53 bilion, berbanding 89,024 transaksi bernilai RM42.11 bilion dalam masa yang sama pada tahun 2023.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan berkata, sebagai satu daripada enjin induk pertumbuhan ekonomi negara, pengukuhan industri harta tanah pada S1 2024 memberi keyakinan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan kukuh untuk tahun 2024 serta menjayakan transformasi negara seperti ditetapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Tambah beliau, kerajaan berharap perancangan ekonomi yang mengimbangkan projek-projek pemangkin dengan pembangunan inklusif akan mendorong perkembangan pasaran harta tanah bagi jangka panjang,

Sementara itu, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), YBrs. Sr Abdul Razak Yusak pula berkata, pengukuhan pasaran harta tanah pada S1 2024 didorong oleh peningkatan ketara transaksi di semua subsektor, terutamanya subsektor komersial iaitu sebanyak 51.5 peratus dan pertanian sebanyk 64.2 peratus.

“Sokongan berterusan kerajaan seperti pemanjangan tempoh pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah sehinggaDisember 2025 menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), JPPH.

Tambah beliau, prestasi pasaran harta tanah bertambah baik namun masih ada risiko cabaran ekonomi global dan persekitaran luaran yang sukar diramal.

Menurut NAPIC, JPPH, dari segi subsektor, harta tanah komersial mencatat pertumbuhan aktiviti paling kukuh sebanyak 33.4 peratus diikuti dengan kediaman, 16.6 peratus, pertanian 13.7 peratus dan tanah pembangunan 10.7 peratus.

Katanya, kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan pada S1 2024 kepada 24,208 unit bernilai RM16.49 bilion daripada 25,816 unit tidak terjual yang bernilai RM17.68 bilionpada S4 2023.

“Pelancaran baharu kediaman pula meningkat 19.8 peratus kepada 5,585 unit dengan prestasi jualan 20.0 peratus, berbanding S1 2023 yang merekodkan 4,661 unit dan data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada S1 2024 berada pada paras 216.9 mata (RM467,997 seunit) dengan pertumbuhan tahunan pada kadar 0.5 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif sederhana antara 0.5 peratus hingga 4.6 peratus kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Sarawak.

Kerajaan MADANI juga telah memperkenalkan beberapa ikhtiar serta projek pemangkin untuk memacu ekonomi tempatan dan sekaligus merangsangkan pengembangan pasaran harta tanah ttermasuklah dengan menambahbaik fleksibiliti syarat-syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H), membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mewujudkan Zon Kewangan Khas di Forest City. J

Selain itu, antara yang menyokong permintaan harta tanah adalah perkembangan positif pembangunan seperti projek Rapid Transit Link (RTS) di Johor, projek perindustrian utama di wilayah utara, projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.