Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lawatan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke Qatar teleh meraih potensi sebanyak RM700 juta eksport dan perkhidmatan.
Menurut Kementerian, Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), komitmen eksport dibuat oleh pelbagai para peneraju industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan dengan Perdana Menteri di Doha.
“Hasil yang menggalakkan ini difasilitasi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Qatar serta menyerlahkan peluang saling menguntungkan yang menanti,” kata MITI dalam satu kenyataan semalam.
MITI berkata sejumlah 45 peneraju industri Qatar terkemuka daripada 36 syarikat menghadiri mesyuarat meja bulat itu, mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan; farmaseutikal; bahan binaan; hartanah dan pembinaan; pendidikan; hospitaliti dan penjagaan kesihatan; kewangan; penerbangan; runcit/pengedaran dan ekonomi digital.
Semasa dialog meja bulat itu, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.
Beliau turut menekankan daya tarikan menarik Malaysia dengan sistem infrastruktur yang kukuh, kedaulatan undang-undang, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih, pelaksanaan projek berdisiplin dan ekosistem perniagaan yang rancak menjadikan destinasi menarik bagi pelabur yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan strategik mereka bagi pasaran Asia, untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dan kepelbagaian.
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, mesyuarat meja bulat di Doha berfungsi sebagai pemangkin untuk memupuk perkongsian strategik, menggalakkan pelaburan dan peluang perdagangan serta mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
“Keutamaan MITI dan agensinya untuk memudahkan semua komitmen eksport dan pelaburan oleh perniagaan Qatar, khususnya dalam sektor seperti ekonomi digital kimia/petrokimia, elektrik dan elektronik termasuk alat perubatan, pemprosesan makanan, industri halal, farmaseutikal, minyak dan gas, dan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau turut menekankan kepentingan strategik Malaysia sebagai rakan dagangan utama memandangkan keahliannya dalam 16 perjanjian perdagangan bebas yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan Qatar yang berpangkalan di Malaysia.
Semasa mesyuarat itu, pelabur sedia ada dan pengimport menyatakan penghargaan mereka atas usaha Malaysia dalam mewujudkan persekitaran untuk pelaburan dan pertumbuhan perniagaan.
Perbincangan turut menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Qatar untuk meneroka jalan baharu untuk kerjasama dan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua ekonomi.
Mesyuarat meja bulat itu turut dihadiri Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Hj. Mohamad Hasan dan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.