14 Mei 2024, 19:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa nilai kerja dalam sektor pembinaan melonjak sebanyak 14.2 peratus berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024 (S1 2024).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai kerja yang dilakukan dalam sektor pembinaan meneruskan trajektori menaik berbanding 6.8 peratus pada S4 2023.

“Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh pengembangan lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam, iaitu pada 24.7 peratus berikutan peningkatan 18.0 peratus pada suku sebelumnya.

“Selain itu, subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman masing-masing mengalami peningkatan dua angka sebanyak 11.8 peratus dan 11.5 peratus.

“Pada masa yang sama, subsektor bangunan bukan kediaman juga berkembang pada kadar yang lebih pantas sebanyak 3.8 peratus (S4 2023: -1.9 peratus).”

Beliau menambah bahawa kejuruteraan awam berjumlah RM15.1 bilion atau 41.1 peratus, didorong oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api yang menyumbang RM7.6 bilion.

“Nilai kerja yang dilakukan untuk bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing ialah pada RM10.2 bilion (27.7 peratus) dan RM7.8 bilion (21.1 peratus).

“Aktiviti pertukangan khas berjumlah RM3.7 bilion (10.0 peratus), sebahagian besarnya dalam pemasangan elektrik (RM1.1 bilion); pemasangan paip, pemanasan dan penyaman udara (RM0.9 bilion); dan aktiviti penyediaan tapak (RM0.7 bilion),” katanya.

DOSM turut menyatakan bahawa sektor swasta kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan pada suku ini, dengan peningkatan sebanyak 10.1 peratus (S4 2023: 1.4 peratus).

Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM21.8 bilion atau 59.2 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan.

Sebaliknya, nilai kerja oleh sektor awam mencapai RM15.0 bilion atau 40.8 peratus, yang mengekalkan pertumbuhan dua digit untuk tiga suku berturut-turut dengan mencatatkan 20.6 peratus pada suku ini.

DOSM menambah hampir 58.4 peratus daripada nilai kerja sektor pembinaan pada S1 2024 tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.