Diterbitkan pada 9 Mei 2024, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat hari ini membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Menurut BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri dan akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata BNM dalam pernyataan dasar monetari yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata ekonomi global terus berkembang berikutan pasaran pekerja yang berdaya tahan di beberapa negara dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

Pada masa hadapan,  pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun. Tambahnya, perdagangan global dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

“Walaupun inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan kebelakangan ini, kadar disinflasi telah menjadi perlahan di beberapa ekonomi maju yang meningkatkan prospek kadar faedah untuk kekal tinggi bagi masa yang lebih lama, khususnya di Amerika Syarikat (AS),” jelas BNM.

Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan  oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Bagi penunjuk terkini bagi ekonomi Malaysia mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku pertama tahun 2024 didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.

“Pada masa hadapan, momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong oleh kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh selain ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat,” maklum BNM.

Tambah BNM, pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

Menurut BNM, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi