9 Mei 2024, 19:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus bagi suku pertama 2024 kepada RM594.5 bilion disumbangkan oleh prestasi yang menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor perkhidmatan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat RM23.3 bilion kepada RM451.6 bilion.

“Peningkatan ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (+RM5.2 bilion; 6.7 peratus), segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan (+RM3.3 bilion; 9.5 peratus) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan danrekreasi dan perkhidmatan persendirian dan aktiviti lain (+RM2.4 bilion; 12.7%).”

Pendapatan e-dagang pula mencatatkan nilai sebanyak RM293.2 bilion iaitu bertumbuh 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.5 peratus.

Beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 4.4 juta orang, meningkat 72,200 orang atau 1.7 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.0 bilion atau 3.3 peratus tahun ke tahun.

Indeks volum perkhidmatan tumbuh 4.5 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan 150.4 mata pada suku pertama 2024, manakala bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula naik 1.3 peratus.

Beliau berkata prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang tumbuh 4.0 peratus

“Ini diikuti dengan pertumbuhan dalam segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (6.0 peratus); segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (3.7 peratus), dan segmen perkhidmatan lain (6.8 peratus),” katanya.

Sementara itu, segmen perkhidmatan lain merekodkan pertumbuhan positif 6.8 peratus berikutan peningkatan dalam kesihatan swasta (9.3 peratus), pendidikan swasta (7.2 peratus) serta kesenian, hiburan danrekreasi dan perkhidmatan persendirian dan aktiviti lain (3.9 peratus).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.