7 Mei 2024, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggalakkan syarikat tempatan untuk menjalinkan kerjasama pelaburan dengan syarikat dari Arab Saudi terutama dalam sektor perkhidmatan.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Arab Saudi mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur di negara itu bagi membolehkan peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau berkata Arab Saudi mempunyai perancangan Visi 2030 yang memerlukan pelaburan dari negara seperti Malaysia terutama dalam sektor perkhidmatan.

“Kita mempunyai kepakaran dalam beberapa bidang seperti elektrik dan elektronik, pelancongan, logistik dan pengurusan fasiliti. “Ini memberikan peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluas perniagaan mereka ke negara itu.”

Beliau turut menambah Majlis Perniagaan Malaysia-Saudi telah ditubuhkan bertujuan memastikan proses perniagaan kepada perniagaan antara dua negara menjadi lebih aktif.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Alkassabi berkata, pihaknya menggalakkan perniagaan persendirian Malaysia untuk meneroka potensi peluang di negara itu.

“Lawatan ini merupakan lawatan yang penting. Usaha ini sebagai lawatan pembuka mata. Lawatan ini adalah misi mencari fakta dengan menentukan aspek yang kita perlu bangunkan, mendengar semua peluang dan mengetahui perkara yang tersedia.

“Jadi kami sedang menyediakan perancangan komprehensif yang merupakan satu pelan kerjasama berdasarkan titah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman supaya menyediakan rancangan bersama dan meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.