13 Mac 2024, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kewangan (MOF) akan menambah baik skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik untuk mengurangkan kesan cukai berganda.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah telah mengumumkan perkara tersebut ketika ucapan penggulungan Titah Di-Raja di Dewan Rakyat semalam.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik sebelum pelaksanaan perubahan cukai ini, kerajaan telah memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, perkhidmatan logistik aktiviti transshipment, perkhidmatan logistik aktiviti transit, perkhidmatan logistik door-to-door dan perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tambahnya, kerajaan juga telah memberi kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) dengan penyedia perkhidmatan logistik tidak perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan komponen perkhidmatan logistik yang sama bagi mengurangkan impak negatif kepada operasi harian aktiviti logistik.

Beliau berkata kerajaan bersetuju supaya skop pengecualian B2B perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama bagi mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik.

“Sebagai contoh, dengan peluasan skop pengecualian B2B ini, penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut,” jelasnya.

Menurut Kementerian Kewangan lagi, pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri terutamanya daripada sektor logistik bagi memuktamadkan pindaan ke atas garis panduan bagi membolehkan perkara itu dikuatkuasakan.

Selain itu, katanya, kerajaan memahami keperluan pemain industri untuk mempunyai masa yang mencukupi dalam meminda sistem pengkomputeran mereka. “Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh sebulan persediaan dan akan hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus mulai 1 April 2024,” maklumnya.

Kementerian Kewangan berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa yang sama memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.