Diterbitkan pada 13 Mac 2024, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa indeks pengeluaran perindustrian (IPP) Malaysia pulih kepada 4.3 peratus pada Januari 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa IPP pulih kepada 4.3 peratus pada Januari 2024 selepas merekodkan sedikit penurunan 0.03 peratus pada Disember 2023, iaitu pertumbuhan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2023. Peningkatan ini diterajui oleh lonjakan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan berbanding negatif 1.4 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Sektor perlombongan mengekalkan aliran menaik dengan mencatatkan 5.0 peratus (Disember 2023: 4.1 peratus). Sebagai perbandingan, pada bulan sebelumnya, IPP meningkat 2.0 peratus berbanding negatif 1.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Pemulihan 3.7 peratus dalam sektor pembuatan pada Januari 2024 dipacu oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang meningkat kepada 8.0 peratus (Disember 2023: 4.2 peratus).

Industri berorientasikan eksport kembali kepada pertumbuhan positif 1.6 peratus selepas berada dalam jajaran negatif selama tujuh bulan berturut-turut (Disember 2023: -4.1 peratus). Pengembangan dalam industri berorientasikan domestik didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler yang mencatatkan peningkatan 12.1 peratus; diikuti oleh Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan pada 11.9 peratus.

Pembuatan produk prosesan makanan turut menyumbang dengan kadar pertumbuhan 8.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi