9 Mac 2024, 21:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) yang bermesyuarat baru-baru ini bagi membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit bersetuju dengan penilaian bahawa tahap semasa ringgit berada di bawah nilai saksama khususnya kerana asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan prospek ekonomi menunjukkan trend positif.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), FMC mengalu-alukan pernyataan Menteri Kewangan II tentang ringgit terutamanya berhubung dengan penyelarasan yang lebih mantap antara kerajaan dengan BNM untuk menggalakkan lebih banyak aliran masuk ke dalam pasaran.

“Langkah ini termasuk mempertingkatkan penyelarasan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menggalakkan mereka membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten, lantas memainkan peranan mereka bagi menyokong ringgit dalam persekitaran global yang mencabar,” kata BNM dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah BNM, mesyuarat turut mengambil maklum bahawa terdapat kesan yang serta-merta terhadap aliran pasaran dan peningkatan minat pasaran terhadap ringgit. Selain itu, kemungkinan untuk lebih banyak penukaran kepada ringgit adalah tinggi berikutan tahap baki semasa mata wang asing di dalam negara.

FMC juga mengambil maklum bahawa BNM akan mengadakan lebih banyak libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur bagi menggalakkan lagi penukaran ringgit serta memperkukuh sentimen pasaran terhadap ringgit.

“FMC juga mengambil maklum akan keyakinan pelabur global yang berterusan terhadap pasaran kewangan Malaysia dan sejak awal tahun sehingga kini, KLCI meningkat sebanyak 6.7 peratus dengan disokong oleh aliran masuk sebanyak USD422 juta daripada pelabur bukan pemastautin,” katanya.

Tambahnya, pemegangan bon kerajaan jangka panjang oleh pelabur bukan pemastautin terus stabil pada kira-kira 22 peratus manakala pasaran FX kekal memberangsangkan dengan jumlah hasil jualan pertukaran asing harian yang kukuh sebanyak USD15.3 bilion.  Hal ini akan terus menyokong pengantaraan yang cekap dalam ekonomi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.