2 Mac 2024, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggariskan tiga ketetapan (isbat)  bagi menyokong aspirasi yang disuarakan oleh masyarakat. Ketiga-tiga ketetapan itu adalah usaha memperkukuh teras ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

“Isbat memperkukuh ekonomi perlu memfokuskan kepada beberapa pemacu utama termasuklah mengukuhkan daya saing, meningkatkan tahap pengeluaran, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangukan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar. Saya berharap agar golongan Bumiputera dapat meningkatkan taraf ekonomi ke tahap yang lebih baik dalam mendepani cabaran masa hadapan.”

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa beliau akan memberikan penekanan terhadap penghayatan dan falsafah Bumiputera pada ketetapan kedua. Perkara ini termasuklah pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan.

Beliau akan memberikan tumpuan bagi menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluaskan jaringan perlindungan sosial bagi ketetapan ketiga. Tambah beliau, antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan, dan akses infrastruktur asas berkualiti.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berikrar bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat terutamanya golongan Bumiputera.

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan sosioekonomi orang asli dan keseimbangan pembangunan Sabah dan Sarawak harus diberi tumpuan. Pelaksanaan ketetapan ketiga ini diharapkan dapat memberikan hak dan perlindungan yang lebih adil kepada masyarakat,” kata beliau.

Beliau menambah kesemua inti pati hasil kongres itu akan diterjemahkan dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan Bumiputera yang akan dirangka untuk tempoh 10 tahun dan dijangka dilancarkan pada Jun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.