2 Mac 2024, 19:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lebih banyak peluang pekerjaan bakal wujud kesan daripada pengenalan dan peluasan bidang peralihan tenaga oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata bahawa golongan Bumiputera perlu mengambil peluang ini dan didedahkan kepada sektor baharu dalam bidang tersebut. Langkah ini adalah selari dengan Tekad Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Menurut beliau dalam ucapannya bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 semalam berkata,

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam langkah menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang bertujuan mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor industri dan komersial yang dijangka membuka 1000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.

Beliau menyatakan bahawa penguatkuasaan akta itu juga akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.

Demi meneruskan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan, PETRA dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pihak berkepentingan juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Tambahnya, NEEAP 2.0 dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan dan pelaburan akan diwujudkan untuk manfaat rakyat dan negara.

Beliau berkata, kerajaan telah meluncurkan Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan usaha dan komitmen negara ke arah mencapai sistem tenaga yang mampan dan inklusif.

NETR membuktikan keazaman kerajaan dalam melaksanakan inisiatif peralihan tenaga daripada ekonomi berasaskan bahan api fosil tradisional kepada ekonomi hijau bernilai tinggi yang juga akan memastikan transformasi ekonomi lestari ini berupaya menjana sumber pertumbuhan baharu, mewujudkan peluang perniagaan dan potensi perdagangan.

Selain itu, katanya, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang 2050, kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050 berbanding dengan 25 peratus ketika ini.

Tambahnya, usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan pembabitan bersama kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran.

Menurut beliau, usaha untuk merealisasikan sasaran peralihan tenaga akan dilakukan secara menyeluruh berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna.

“Secara asasnya, aspirasi peralihan tenaga itu akan dikecapi melalui pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos yang berpatutan, memanfaatkan ruang bumbung bangunan atau permukaan air untuk pemasangan sistem solar bagi mengelakkan tebus guna tanah serta menggalakkan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga, iaitu daripada sumber bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidro bagi menjamin sekuriti pembekalan elektrik,” jelas beliau.

Tambahnya, inisiatif lain adalah dengan membangunkan program khusus bagi membolehkan capaian bekalan elektrik hijau oleh pengguna korporat untuk menarik serta mengekalkan pelaburan bersih dan bernilai tinggi oleh syarikat Renewable Energy 100 (RE100) dan meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif ASEAN Power Grid bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan TBB yang lebih tinggi melalui jaringan sistem grid di ASEAN.

Jelas beliau, pada 26 Januari lalu, kerajaan telah mengumumkan program TBB bagi tahun 2024 dengan anggaran nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion yang akan mewujudkan sekurang-kurangnya 36 000 peluang pekerjaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.