28 Februari 2024, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kewangan mengumumkan perincian reformasi percukaian sebagai langkah menyokong usaha kerajaan MADANI bagi memperkukuh asas fizikal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 memberikan tumpuan terhadap aktiviti berkaitan dengan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan.

“Hal ini bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting termasuklah makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan yang sama menyatakan bahawa bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian.

Katanya, meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkan hal ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada berlebihan.

Beliau menambah,

Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti mana yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Menurut Kementerian Kewangan, sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak tiga bilion ringgit kepada negara dan hasil tambahan ini dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Katanya, menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar lapan peratus termasuklah perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

“Di samping itu, liputan cukai perkhidmatan turut akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama. Sebagai contoh, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari-menari, kabaret dan pusat kesejahteraan,” jelasnya.

Menurut Kementerian Kewangan, peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini termasuklah makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan yang kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Tambahnya, hal ini termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus dan bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan.

“Bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600kWj dan hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang ini serta tidak terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan tersebut,” katanya. Cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan terhadap perkhidmatan air dirawat.

Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa bagi membolehkan syarikat melaksanakan perubahan dalam cukai perkhidmatan, kerajaan telah bersetuju dengan tarikh pelaksanaan berikut, iaitu orang berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan bercukai sedia ada  pada 1 Mac 2024, orang berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan bercukai baharu pada 1 Mac 2024 dan orang berdaftar baharu menyediakan perkhidmatan bercukai baharu pada 1 April 2024.

Katanya lagi, kerajaan menjangkakan perubahan ini tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi kerana kenaikan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan ini melibatkan beberapa perkhidmatan bercukai sahaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.