28 Februari 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

Menurut kenyataan bersama BNM dan NBC, MoU ini akan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara BNM dengan NBC bagi memacu inovasi kewangan dan memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan selamat demi manfaat individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

Hal ini termasuk menghubungkan sistem pembayaran domestik di Malaysia dan Kemboja bagi membolehkan pembayaran QR rentas sempadan.

BNM berkata kerjasama ini juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan serta menyokong penubuhan mekanisme pengawasan bersama (cooperative oversight mechanism) bagi pembayaran rentas sempadan yang lebih selamat.

MoU ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Regional Payment Connectivity dan juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju G20 bagi meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan.

Tambahnya, pencapaian ini seterusnya akan memudahkan aktiviti perdagangan dan pelancongan rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja sehingga lima juta peniaga, termasuk perniagaan kecil, yang menerima pembayaran QR di kedua-dua negara dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama ini.

Menurut Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour, MoU ini menandakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan pembayaran rentas sempadan dan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan.

Beliau berkata, “Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan NBC yang telah lama wujud demi manfaat bersama bagi individu dan perniagaan di kedua-dua negara di samping memberikan dorongan untuk memacu inovasi yang lebih meluas dan memperkukuh integrasi kewangan dalam menyokong pembangunan ekonomi serantau.”

Sementara itu, Gabenor NBC, Chea Serey pula menyatakan bahawa peristiwa semalam merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan kerjasama antara bank pusat kami. Katanya, menerusi MoU ini, NBC dan BNM akan bekerjasama bagi memacu inovasi kewangan dan menambah baik sistem pembayaran kod QR rentas sempadan bagi merangsang aktiviti perdagangan dan rangkuman kewangan di kedua-dua negara serta menggalakkan penggunaan mata wang tempatan sejajar dengan objektif ASEAN.

Pertukaran MoU antara Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour dengan Gabenor NBC, Chea Serey ini telah disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.