Oleh Rasoul Manan
25 Februari 2024, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian “Lorong UDA” di Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Program tersebut dilaksanakan sempena “Kayuhan Uda Cares” bersama-sama UDA Holdings Berhad (UDA) dengan misi syarikat berkenaan memberikan bantuan dan sumbangan kepada penduduk setempat.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenaan berangkat menyempurnakan perasmian program sambil disaksikan oleh pegawai tertinggi UDA Holdings dan KSU KUSKOP.

Selain kayuhan amal, beberapa program lain turut diadakan seperti mengecat bagi mencantikkan serta menambah baik kawasan sekitar kayuhan dan lorong yang terpilih.

Baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000.00 kepada setiap penerima dan RM700.00 kepada warga asnaf terpilih. Hal ini merupakan inisiatif pihak UDA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Program ini juga merupakan sebahagian daripada pengisian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 23 Februari 2024 hingga 25 Februari 2024 di Tapak Pasar Tani Kekal, Simpang Empat, Perlis.

Keberangkatan baginda diiringi oleh anakanda baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif UDA, YBhg. Datuk Sri Mohd. Salem Kailany.Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia, YBhg. Datuk Sri Suriani Dato’ Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.