23 Februari 2024, 19:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan i-Lindung Fasa Dua di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membolehkan ahli menggunakan dana dalam Akaun Dua mereka untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat.

Menurut KWSP, ahli yang ingin membeli insurans dan menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP untuk diri mereka sendiri atau ahli keluarga terdekat boleh berbuat demikian melalui platform i-Lindung dalam aplikasi mudah alih i-Akaun (Ahli) KWSP.

Lebih 102 301 ahli telah membeli sejumlah 118 166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung yang meliputi perlindungan insurans hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan sejak dilancarkan pada Julai 2022 hingga Disember 2023.

Susulan daripada sambutan yang menggalakkan ini, KWSP telah memperkenalkan penambahbaikan yang memfokuskan terhadap pengurusan polisi dan sijil untuk perlindungan lanjutan melebihi satu tahun. KWSP dalam kenyataannya berkata,

Penambahbaikan ini merupakan satu kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung, yang menggabungkan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan keluarga tersayang.

Tambah KWSP lagi, platform yang dinaik taraf ini menawarkan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan pengurusan polisi yang diperkemas dan pembayaran berulang yang mudah untuk perlindungan jangka panjang. Ahli KWSP boleh merujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 untuk maklumat lanjut tentang i-Lindung.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.