Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan sederhana pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2023. Pertumbuhan sederhana itu direkodkan selepas asas tinggi yang direkodkan pada tahun 2023, iaitu 8.7 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 dipacu oleh sektor perkhidmatan (5.3 peratus) diikuti oleh sektor pembinaan (6.1 peratus) dan pembuatan (0.7 peratus). Sektor pembuatan bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 0.7 peratus (2022: 8.1 peratus) berikutan asas yang lebih tinggi pada tahun sebelumnya dan permintaan luaran global yang lemah.
Dari segi permintaan dalam ekonomi, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau perbelanjaan isi rumah yang meningkat sebanyak 4.7 peratus, diikuti oleh pembentukan modal tetap kasar (PMTK), iaitu 5.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan (3.9 peratus).
Sementara itu, eksport dan import masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 7.9 peratus dan 7.6 peratus dengan eksport bersih mencatatkan penyusutan sebanyak 11.3 peratus pada tahun 2023.
Walau bagaimanapun, beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia adalah seiring dengan negara ASEAN lain yang menunjukkan pertumbuhan sederhana pada tahun 2023, iaitu Singapura sebanyak 1.1 peratus (2022: 3.8 peratus), Indonesia, 5.1 peratus (2022: 5.3 peratus) dan Filipina mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus (2022: 7.6 peratus).
Negara maju lain seperti Korea Selatan, 1.4 peratus (2022: 2.6 peratus) dan United Kingdom, 0.1 peratus (2022: 4.3 peratus) sebenarnya turut mencatatkan pertumbuhan sederhana. Walau bagaimanapun, China terus berkembang pada 5.2 peratus (2022: 3.0 peratus) dan Amerika Syarikat meningkat 2.5 peratus (2022: 1.9 peratus) pada tahun 2023.