17 Februari 2024, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia merekodkan lebihan sebanyakn RM253.4 juta pada suku keempat tahun 2023 yang disokong oleh komponen perjalanan.

Akaun kewangan berubah kepada aliran keluar bersih berjumlah RM19.9 bilion pada suku keempat tahun 2023 berbanding dengan aliran masuk bersih RM14.9 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh aliran keluar bagi pelaburan lain sebanyak RM14.4 bilion dan derivatif kewangan pada RM3.8 bilion. Pada tahun 2023, CAB mencapai lebihan sebanyak RM22.8 bilion berbanding dengan RM55.1 bilion tahun lalu. Akaun kewangan pula mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM18.9 bilion berbanding dengan aliran masuk bersih berjumlah RM12.4 bilion pada tahun 2022.

Perbandingan bagi suku tahunan itu menunjukkan bahawa akaun barangan mencatatkan eksport bersih sebanyak RM30.8 bilion pada suku keempat bagi tahun 2023 berbanding dengan RM32.7 bilion pada suku ketiga tahun 2023. Import barangan pula menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus dari suku ke suku mencecah RM245.1 bilion. Hal iniĀ  disumbangkan oleh China, Singapura dan Amerika Syarikat sebagai sumber utama import. Pada masa yang sama, sektor perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih rendah, iaitu sebanyak RM7.4 bilion yang disumbangkan oleh peningkatan dalam perjalanan masuk.

Sementara itu, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit yang semakin meningkat, iaitu sebanyak RM20.9 bilion berbanding RM11.0 bilion pada suku sebelumnya. Hal ini disebabkan oleh peningkatan dalam pembayaran bersih daripada pelaburan langsung berjumlah RM16.9 bilion. Begitu juga dengan akaun pendapatan sekunder yang turut mencatatkan defisit yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM2.3 bilion pada suku keempat tahun 2023.

Kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM926.3 bilion pada akhir tahun 2023, manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negara (DIA) adalah berjumlah RM662.8 bilion. Jumlah kedudukan aset kewangan negara adalah bernilai RM2.40 trilion, manakala jumlah liabiliti ialah RM2.28 trilion. Kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia mencatatkan aset bersih sebanyak RM119.4 bilion, manakala rizab antarabangsa berjumlah RM520.7 bilion.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.