14 Februari 2024, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House & Industry Sdn. Bhd. merupakan usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) yang melaksanakan perusahaan pemprosesan produk berasaskan ikan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Australia, Singapura dan Brunei.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu telah mengadakan lawatan kerja ke perusahaan tersebut semalam. “Syarikat yang menjalankan perusahaan keropok lekor di Parlimen Kota Raja ini merupakan usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan semalam. Tambah beliau, Keropok House & Industry Sdn Bhd menerima bantuan dari jabatan pada tahun 2016 dan tahun 2022 melalui bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) sebanyak RM43,500 bagi meningkatkan hasil produk yang dipasarkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan bin Hussain berkata nilai pengeluaran myAP seluruh Malaysia pada tahun 2022 adalah sebanyak RM18,540,000 dengan melibatkan 72 usahawan manakala pada tahun 2023 nilai pengeluaran mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak RM22,875,000 dengan 78 usahawan. “Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam membangunkan dan memajukan usahawan dan komuniti perikanan. Penubuhan program myAP di Jabatan Perikanan Malaysia telah terbukti membantu golongan sasar untuk menaik taraf kehidupan mereka di samping turut membantu merancakkan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan jabatan juga turut membantu dari aspek pemasaran produk usahawan melalui karnival usahawan perikanan, pameran pertanian, hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) dan pelbagai platform promosi yang lain. Tambahnya, inisiatif ini merupakan usaha komited jabatan bagi membantu mereka menjual dan memasarkan produk mereka kepada lebih banyak pelanggan, termasuk restoran, pasar tempatan juga pembeli luar negeri.

“Usahawan myAP turut mendapat sokongan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia dalam pengurusan dan operasi perniagaan mereka termasuklah pemantauan kualiti produk, penguatkuasaan undang-undang perikanan dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perniagaan,” katanya. Usahawan myAP juga disaran untuk berpegang kepada pelaksanaan dan pembudayaan Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah diberi penekanan oleh menteri sebelum ini. Perkara ini penting bagi melonjakkan produktiviti usahawan, kelangsungan sektor agromakanan negara dan seterusnya bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi.

Turut hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan)YBrs Tuan Haji Bohari bin Haji Leng, Aziz Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Puan Khazlita Adzim binti Abdul, Ketua Cawangan Pengembangan Perikanan Negeri Selangor, Puan Nor Farahiyah binti A. Aziz dan Kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.