Diterbitkan pada 9 Februari 2024, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Interpacific Asset Management melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada tahun 2024 disebabkan  rangsangan daripada perbelanjaan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua ahli ekonomi dan pengurus dana, Datuk Nazri Khan menyatakan bahawa usaha berterusan kerajaan membawa masuk lebih banyak pelaburan asing juga merupakan petunjuk peningkatan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia yang memberikan prospek baik terhadap pasaran domestik. Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam usaha pembaharuan ekonominya untuk menarik pelaburan bernilai tinggi melalui pelan tindakan dan inisiatif pemangkin di bawah kerangka ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

Antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada strategi ini termasuklah sektor pembinaan apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM72.3 bilion bagi pengangkutan, air dan tenaga. Sementara itu, sektor teknologi di Malaysia juga dijangka terus berkembang melalui Program Ekonomi Digital Kebangsaan (NDEP) dan penggunaan 5G di Malaysia. Selain itu, beliau menjangkakan bahawa kos barang dan produk naik sedikit berikutan rasionalisasi subsidi yang boleh membawa impak kepada inflasi.

Walau bagaimanapun, kami tidak menjangkakan kadar inflasi bergerak ke arah paras kemuncak seperti pada bulan Ogos 2022, iaitu sekitar 4.5 peratus hingga 4.7 peratus. Kami tidak menjangkakan sebarang perubahan pada kadar dasar semalaman (OPR) bagi tahun 2024 kerana kadar inflasi di Malaysia stabil pada kadar 2.0 peratus selepas paras pada Ogos 2022.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan pendekatan monetari yang neutral bagi tahun 2024. Beliau berkata bank pusat tidak akan kekal statik dalam keputusannya sekiranya landskap berubah dan beliau percaya strategi tunggu dan lihat akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan boleh dicapai secara khusus tentang OPR.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi