Diterbitkan pada 20 Januari 2024, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelabuhan Klang – Jualan kenderaan elektrik (EV) dijangka meningkat pada tahun ini bersandarkan keyakinan pemain industri terhadap minat ketara untuk kenderaan jenis berteknologi tinggi itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa sasaran itu juga selari dengan angka penjualan kereta EV pada tahun 2023 yang melonjak 200 peratus berbanding pada tahun sebelumnya. Malaysia telah merekodkan lebih daripada 100,000 kenderaan elektrik berdaftar setakat Disember 2023. Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa unjuran peningkatan jualan itu turut bergantung kepada usaha dalam memastikan ketersediaan aspek ekosistem EV.

Selain penjualan kereta EV, perkara yang perlu diberi tumpuan pada masa ini adalah mewujudkan lebih banyak stesen pengecasan kenderaan itu. Malaysia pada masa ini mempunyai lebih daripada 1500 stesen pengecasan EV dan angka itu perlu ditingkatkan untuk keselesaan rakyat terutama yang menetap di kediaman bertingkat atau bangunan tinggi selain memastikan tiada isu bagi tujuan pemanduan jarak jauh.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa peruntukan bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) yang menawarkan pemberian rebat sehingga RM2400 untuk pembelian kenderaan itu yang dilancarkan pada awal Disember lepas telah digunakan sepenuhnya. Sehubungan itu, MITI akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan skim MARiiCas dan peruntukannya ditingkatkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi