9 Januari 2024, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) sedang merangka satu rancangan strategik bagi memperkukuh pelaburan hijau dan pada masa yang sama menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan hijau di rantau ini.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa pelan tersebut bertujuan untuk mencapai matlamat karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Sebelum ini, dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini, telah mencapai persetujuan bagi menyusun pelan khas dengan tujuan meningkatkan pelaburan hijau di Malaysia. Selain itu, mereka juga sepakat untuk membentuk pasukan petugas khas yang akan memajukan industri semikonduktor secara strategik.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya hari ini menyatakan bahawa memandangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang 45.4 peratus (atau RM593.5 bilion) kepada jumlah eksport hasil industri pembuatan Malaysia yang setara dengan 7.1 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, mesyuarat tersebut turut memutuskan untuk membentuk Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF).

Selaras dengan fokus ke arah pelaburan hijau, mesyuarat tersebut juga membuat keputusan untuk menamakan semula projek kerajaan Persekutuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

“Hal ini dijangka menjadi pendorong utama untuk beralih kepada tenaga boleh baharu secara menyeluruh oleh industri yang akan dikembangkan di taman perindustrian tersebut,” jelasnya.

Selain itu taman perindustrian ini merupakan satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor tersebut.

NSSTF yang akan diketuai oleh Menteri MITI dijangka dapat memperkuatkan lagi sektor tersebut yang kini menyumbang 13 peratus bagi aktiviti pemasangan, ujian, dan pembungkusan cip global, serta 10 peratus kepada pasaran semikonduktor global.

Beliau menyatakan bahawa semua usaha ini akan menjamin pelaksanaan pelaburan dalam negara bagi mencapai matlamat Ekonomi MADANI dan hal ini termasuklah bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia dan 12 teratas dalam daya saing global dalam tempoh 10 tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.