27 Disember 2023, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun pada November 2023 dengan mencatatkan penyusutan kepada 1.5 peratus berbanding 0.3 peratus pada Oktober 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir berkata sektor pembuatan meneruskan aliran penurunan dengan penguncupan sebanyak 1.4 peratus berbanding sebanyak 0.7 peratus pada Oktober 2023  disebabkan oleh indeks pembuatan kok dan petroleum bertapis, iaitu sebanyak -11.7 peratus serta pembuatan produk makanan sebanyak -4.5 peratus.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan penyusutan sebanyak 0.4 peratus (Oktober 2023: 3.8 peratus) akibat penurunan penanaman tanaman kekal, iaitu sebanyak -1.5 peratus.

“Sektor bekalan elektrik dan gas juga menguncup sebanyak 0.6 peratus selepas mengalami penurunan 0.5 peratus pada Oktober lepas,” jelasnya dalam kenyataan IHPR Tempatan 2023 hari ini.

Sektor perlombongan mencatatkan penurunan terbesar pada bulan lepas, iaitu sebanyak 4.7 peratus berbanding 0.5 peratus pada bulan sebelumnya berikutan kemerosotan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli, iaitu sebanyak -15.2 peratus dan pengekstrakan petroleum mentah sebanyak -1.1 peratus.

Beliau juga menjelaskan bahawa pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan susut sebanyak 0.7 peratus pada November 2023 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya. Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks barang siap mencatatkan 1.7 peratus pada bulan lepas, manakala pada bulan Oktober 2023 mencatatkan 2.2 peratus.

Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menguncup 3.4 peratus  (Oktober 2023: -3.0 peratus). Sementara itu, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya menguncup 0.3 peratus pada November 2023 daripada 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjelaskan kesemua sektor berada dalam wilayah negatif kecuali sektor bekalan air yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.