Oleh Abd Razak Osman
26 Disember 2023, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Baharu – Sebanyak 1200 daripada 3000 buah koperasi berdaftar di negara ini telah melaksanakan Projek Barang Asas 100 (BA100) yang  giat menawarkan barangan keperluan asas harian dengan harga kompetitif dalam usaha membantu kerajaan menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan bahawa sebanyak tiga juta pengguna seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak khususnya golongan B40 mendapat manfaat daripada harga barangan asas yang lebih murah hasil inisiatif tersebut.

“Dijangkakan tiga juta pengguna tersebut akan berbelanja sekurang–kurangnya sebanyak RM200 di premis koperasi dan perolehan daripada jualan sahaja boleh mencecah sehingga RM600 juta. Usaha sebegini merupakan serampang dua mata apabila kita dapat meningkatkan hasil pendapatan koperasi dan pada masa yang sama membantu rakyat untuk jimat berbelanja dalam keadaan ekonomi masa ini.”

Tambah beliau lagi, “Projek BA100 merupakan inisiatif ANGKASA bagi mewujudkan platform digital peruncitan untuk gerakan koperasi terlibat dalam sektor tersebut dan menaik taraf koperasi bersaiz mikro kepada sederhana serta meningkatkan perolehan mereka melalui kepelbagaian bidang yang boleh diceburi. Usaha digitalisasi ini juga selari dengan Pelan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 yang dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick baru-baru ini bagi meningkat keterlibatan gerakan koperasi dalam perusahaan digital yang dilihat semakin kritikal keperluannya dalam landskap ekonomi kini.

Ibrahim Othman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selepas merasmikan mesyuarat agung itu.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Melayu Mukim Sungai Batu Serdang Kedah Berhad di Dewan Haji Harun Kompleks Pejabat Koperasi Melayu Mukim Sungai Batu Serdang Kedah Berhad di Bandar Baharu, Kedah semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Kedah, Khozali Yunus Ibrahim dan Pengerusi Koperasi Melayu Mukim Sungai Batu Serdang Kedah Berhad, Ibrahim Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.