18 Disember 2023, 13:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sibu – Kerajaan Negeri Sarawak telah membentuk satu jawatankuasa khas susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat asing di Dubai untuk menyelia pelibatan negeri berkenaan dalam industri minyak dan gas (O&G) baru-baru ini.

Premier Sarawak merasmikan Pejabat Daerah Selangau dan Selangau Riverfront yang baharu.

Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg berkata, jawatankuasa itu  akan bekerjasama dengan syarikat O&G milik kerajaan negeri, iaitu Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) serta pengeluar tenaga, Sarawak Energy Bhd. (SEB) untuk membuat perancangan strategik bagi mempergiat pelibatan negeri dalam kerjasama tersebut.

Petros telah menandatangani MoU dengan Mubadala Petroleum, manakala SEB memeterai MoU dengan Masdar, jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Daerah Selangau dan Selangau Riverfront yang baharu di sini hari ini. Beliau turut menjelaskan bahawa akan ada satu jawatankuasa khas untuk penambahbaikan MoU.

MoU itu ditandatangani semasa Persidangan Parti ke-28 (COP28) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Angsa Bersatu tentang perubahan iklim (UNFCC) di Dubai awal bulan ini.

Mubadala Petroleum merupakan syarikat tenaga antarabangsa yang beribu pejabat di Abu Dhabi mempunyai kerjasama dengan PETRONAS dalam operasi di luar pesisir Sarawak manakala Masdar, sebuah syarikat gergasi tenaga bersih dari Abu Dhabi yang kini mempunyai pelaburan di Indonesia dalam solar terapung.

Sementara itu, Abang Zohari turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mengkaji pembinaan jalan masuk baharu ke perbandaran Selangau dari Lebuh Raya Pan Borneo bagi membolehkan lebih ramai orang berulang alik di lebuh raya untuk ke Selangau dan merancakkan aktiviti ekonomi di sana.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan bernilai RM2 juta telah diluluskan untuk projek tersebut dan lebih banyak dana sedia diperuntukkan sekiranya peruntukan awal tidak mencukupi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.