18 Disember 2023, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin mengumumkan pelantikan YBhg. Datuk Abu Tariq bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HASiL yang baharu berkuat kuasa 17 Disember 2023. Beliau menggantikan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom bin Sairi yang telah tamat tempoh kontrak perkhidmatannya pada 16 Disember 2023.

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom bin Sairi, telah berkhidmat selama 38 tahun di HASiL dan telah menyumbang kepada kecemerlangan organisasi ini. Antara sumbangan signifikan beliau adalah memperkenalkan konsep kesedaran, pendidikan dan  perkhidmatan (AES) bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan di HASiL. Langkah ini bertujuan untuk membina kembali kepercayaan masyarakat terhadap sistem percukaian langsung negara. Selain itu, HASiL telah merekodkan pencapaian kutipan cukai langsung tertinggi dalam sejarah negara pada tahun 2022, iaitu pada angka RM175.4 bilion. HASiL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom bin Sairi atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di HASiL.

HASiL turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan YBhg. Datuk Abu Tariq bin Jamaluddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HASiL yang baharu. Beliau yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian (LLB. Hons) dari Universiti Malaya, mula berkhidmat di HASiL pada 15 Mac 1995 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang percukaian langsung merangkumi perundangan dan pematuhan cukai.

Sebelum menjawat portfolio Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), YBhg. Datuk Abu Tariq bin Jamaluddin juga pernah memegang beberapa jawatan penting di HASiL merangkumi jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) dan Pengarah Jabatan Undang-Undang. Dengan pengalaman luas YBhg. Datuk Abu Tariq bin Jamaluddin ini sudah pastinya akan membolehkan HASiL mencapai visi untuk menjadi pentadbir cukai terunggul selari dengan aspirasi membina Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.