Diterbitkan pada 6 Disember 2023, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Fitch Ratings mengesahkan penarafan kredit berdaulat Malaysia BBB+ dengan tinjauan “stabil”.

Menurut Kementerian Kewangan, penarafan ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap reformasi fiskal dan keupayaan negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta daya tahan negara dalam menghadapi keadaan global yang lemah dan tidak menentu.

“Penarafan Malaysia diimbangi oleh keadaan ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding dengan hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah relatif dengan perbelanjaan mengurus, dan keadaan politik yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar dan reformasi jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, Fitch menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar menyederhana kepada 4.0 peratus pada tahun 2023 dan 4.2 peratus  pada tahun 2024 dengan kestabilan politik negara yang bertambah baik.

Fitch menganggarkan bahawa permintaan global yang lemah dan sekatan perdagangan akan menjejaskan aktiviti eksport negara, namun permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan aktiviti pelaburan. Fitch menyatakan bahawa kedudukan akaun semasa negara terus mencatat lebihan selama lebih dua dekad dan menjangkakan akaun semasa akan kekal dengan lebihan dalam jangka sederhana, walaupun menghadapi cabaran luar.

Tambahnya, Fitch menganggarkan akaun semasa akan mengecil kepada 2.6 peratus pada tahun 2023 berbanding pada tahun 2022 yang mencatatkan 3.0 peratus, namun Malaysia berada pada kedudukan yang baik serta berupaya untuk meraih manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global disebabkan oleh sektor pembuatan yang kompetitif dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara sejak pembukaan semula ekonomi pada tahun 2022

Selain itu, Fitch turut menjangkakan bahawa defisit kerajaan persekutuan akan menurun kepada 3.5 peratus pada tahun 2025 disebabkan oleh rasionalisasi subsidi dan pelancaran Cukai Minimum Global. Menurut Kemenerian Kewangan,

Kerajaan komited untuk meneruskan konsolidasi fiskal dan membina semula ruang fiskal untuk kemampanan jangka panjang dan dalam jangka sederhana, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus pada tahun 2022 kepada anggaran 5.0 peratus pada tahun 2023 dan seterusnya kepada 4.3 peratus pada tahun 2024.

Belanjawan 2024 mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM90 bilion bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat.

Tambahnya, di bawah kerangka Ekonomi MADANI, langkah konsolidasi fiskal akan dipercepat bagi mencapai sasaran defisit 3.0 peratus dan pembaharuan fiskal terus menjadi keutamaan kerajaan dan telah dizahirkan dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) baru-baru ini yang diluluskan oleh Parlimen bulan lepas.

“FRA akan menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan awam untuk kemampanan fiskal jangka panjang dan kestabilan makroekonomi,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan yakin bahawa inisiatif yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI dan pelaksanaan langkah-langkah di bawah pelbagai rancangan negara, iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi