5 Disember 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata inisiatif agropelancongan dalam peningkatan kemahiran mekanisasi dan automasi serta kerjasama pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi perlu dipergiat bagi memastikan kemampanan sektor itu dalam mendepani ketidaktentuan pasaran dunia tahun hadapan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi telah mengambil kira bahawa sektor agrikomoditi sebagai tunjang utama ekonomi negara dan Malaysia perlu mengekalkan momentum sektor tersebut agar komoditi yang dihasilkan dapat bersaing di persada dunia.

Penggunaan dron dan mesin antara contoh kemahiran automasi dan mekanisme yang boleh diketengahkan dan perkara tersebut dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar selain menarik minat belia untuk terlibat dalam industri agrikomoditi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Agrikomoditi Negara (HAKN) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau menegaskan agar pihak Lembaga dan agensi memberikan tumpuan terhadap kaedah untuk meningkatkan penyelidikan selain menjalin kerjasama dengan pihak industri atau para akademik bagi menghasilkan teknologi baharu berasaskan automasi dan mekanisasi. Persaingan yang tinggi menyebabkan Malaysia tidak boleh lagi bergantung pada tenaga luar seperti Indonesia kerana ekonomi mereka juga semakin berkembang.

Satu cabaran bagi Malaysia adalah untuk mendapatkan pekerja yang mahir. Oleh sebab itu kita kena mahir kepada teknologi, mekanisasi dan automasi. Sektor agrikomoditi juga boleh dikembangkan kepada agropelancongan dengan cara para pengusaha mengambil inisiatif untuk mewujudkan elemen pelancongan di kedai atau kebun mereka sebagai tarikan pelancong.

Menurutnya, selain penanaman koko, pengusaha Lee’s Cocoa Shop di Tanjung Sepat, Selangor juga membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk mempelajari proses tanaman koko dan penghasilan coklat. Beliau juga ingin melihat bagaimana bahan sisa yang tidak digunakan dapat diproses untuk dijadikan produk makanan haiwan, baja atau menghasilkan produk hiliran daripada bahan buangan ini.

Menurutnya lagi, peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bukan sahaja berperanan sebagai pengawal selia dan pemudah cara, tetapi juga mempunyai matlamat u untuk mempermudah pihak industri agrikomoditi dalam meningkatkan produktiviti atau hasil sekali gus kepada sumber pendapatan industri. Beliau menegaskan bahawa pihak KPK juga perlu membantu pekebun kecil bagi memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.