Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, telah berjaya menghasilkan komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM63.02 bilion dan berjaya mencapai nilai potensi eksport sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia.
Delegasi Malaysia yang dikenali sebagai TIM USA yang melibatkan wakil peringkat tertinggi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meliputi Chicago dan San Francisco. Delegasi ini memberi tumpuan untuk menarik pelaburan teknologi tinggi, FDI bernilai tinggi, serta nilai dagangan tinggi perkhidmatan dan barangan negara.
Pertemuan secara bersemuka Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovicand Tiktok telah menghasilkan FDI berjumlah RM54.72 bilion bagi tempoh 10 tahun hingga 15 tahun. Malaysia juga aktif mendapatkan pemain industri kenderaan elektrik (EV) termasuklah Tesla.
TIM USA yang diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menghasilkan komitmen FDI RM8.3 bilion dari Abbot Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, dan Lam Research. Selain itu, MITI melaporkan bahawa Canadian Tire Corporation, Global Agri Trade Corporation, dan Unigen Corporation antara syarikat yang telah memberi komitmen dengan nilai eksport sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia.
Perkara utama yang terhasil daripada lawatan tersebut termasuklah pengetahuan dan kepakaran syarikat ini bagi meningkatkan kerumitan ekonomi Malaysia bagi landskap pembuatan seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Hal ini akan membantu menjana perniagaan tambahan bernilai lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana, pekerjaan yang lebih berkualiti dan bergaji tinggi untuk rakyat.