21 November 2023, 22:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mewujudkan pusat memudah cara pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi urusan berkaitan dengan pelaburan di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa penubuhan IMFC bertujuan untuk memudah cara urusan komuniti perniagaan dan para pelabur dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan yang terpilih. Penubuhan secara fizikal adalah untuk mempercepat pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat sekali gus mengurangkan karenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA dan selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam keputusan Majlis Jemaah Menteri pada 3 November dan aspirasi Ekonomi MADANI untuk memudah cara perniagaan khususnya perjalanan pelabur pada pelbagai peringkat. Beliau turut menyatakan bahawa IMFC juga bertujuan mengumpulkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung dan usaha itu merupakan langkah penting dalam mendukung hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Inisiatif tersebut juga mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mesra pelabur dan mesra perniagaan yang terunggul di rantau ini berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional. Tambah beliau lagi, perkhidmatan rundingan dan pemudah cara yang dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka akan memberi impak positif selain meningkatkan keyakinan pelabur dan peserta industri.

Pelaksanaan IMFC akan dijayakan berdasarkan konsep seluruh kerajaan (whole-of-government) dan akan disokong secara langsung oleh beberapa kementerian dan agensi yang berkepentingan, seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. Selain itu, inisiatif ini turut diberikan sokongan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, syarikat telekomunikasi, Tenaga Nasional Berhad serta kementerian dan agensi lain tertakluk kepada keperluan semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.