20 November 2023, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran perkembangan ekonomi Malaysia pada kadar 4% bagi tahun ini dan sekitar 4% hingga 5% pada tahun hadapan.

Menurut Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, pertumbuhan ini akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berkembang berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri. Tambah beliau, prestasi pertumbuhan ini seiring dengan perkembangan ekonomi  menggalakkan yang  akan memberikan sokongan terhadap nilai ringgit.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik dan pelaburan akan disokong oleh kemajuan selanjutnya dalam projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin.

Beliau juga berkata langkah yang dirangka dalam Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan terhadap kegiatan ekonomi. Tambah beliau lagi, prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca daripada permintaan luar yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.

Walau bagaimanapun, wujud faktor yang mungkin menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih tinggi, iaitu aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan, permintaan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang pulih dengan lebih kukuh serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih pantas.

Sementara itu, bagi kadar inflasi di Malaysia pula katanya, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sepanjang tahun 2023 disebabkan oleh keadaan kos yang lebih rendah.  Beliau menjangkakan keadaan ini akan berterusan untuk tempoh seterusnya pada tahun 2023. Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2.5% hingga 3% pada tahun 2023. Tambah beliau lagi, pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negeri tentang subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global di samping perkembangan pasaran kewangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.