18 November 2023, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia meningkat sedikit 0.3 peratus kepada RM9.14 bilion pada suku ketiga 2023 berbanding RM9.1 bilion pada suku sebelumnya kerana ditingkatkan oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi.

Lebihan yang lebih tinggi itu menyumbang 2.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), rendah sedikit daripada 2.1 peratus daripada KDNK pada suku kedua. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa aliran masuk bersih berjumah RM14.9 bilion berbanding aliran keluar bersih RM11.6 bilion pada suku sebelumnya. Dalam tempoh Januari hingga September, CAB mencapai lebihan RM22.5 bilion, manakala akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih RM1.0 bilion.

Tambah beliau, eksport bersih barangan meningkat kepada RM32.7 bilion pada suku ketiga daripada RM29.5 bilion pada suku kedua 2023 dengan eksport meningkat 2.2 peratus kepada RM260.4 bilion. Import barangan turut menunjukkan peningkatan 1.0 peratus suku ke suku untuk mencapai RM227.7 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan perantaraan. China, Singapura dan AS merupakan sumber utama import Malaysia.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM7.2 bilion pada suku ketiga 2023 berbanding RM3.1 bilion pada suku sebelumnya. Penerima FDI terbesar ialah sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti kewangan dan perlombongan dan pengkuarian. Hong Kong, China dan United Kingdom merupakan sumber utama utama FDI. Selain itu, aliran keluar bersih pelaburan langsung di luar negara (DIA) meningkat kepada RM13.4 bilion berbanding RM8.0 bilion pada suku sebelumnya.

Penyumbang utama DIA ialah sektor perkhidmatan, khususnya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian serta pertanian. Tiga destinasi utama DIA ialah Indonesia, Angola dan Vietnam. FDI dan DIA terkumpul masing-masing berjumlah RM914.9 bilion dan RM659.6 bilion hingga akhir suku ketiga 2023. Jumlah aset kewangan berjumlah RM2,399.5 bilion berbanding jumlah liabiliti RM2,296.3 bilion.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.