13 November 2023, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kunming – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Yunnan State Farms Group yang berlangsung di Yunnan Agricultural Reclamation Building, 111 Renmin East Road, Kunming, China baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengurus Besar Yunnan State Farms Group, Chen Yunzhong dan Pengerusi Yunnan Commercial Group, Di Wen dan Timbalan Pengurus Besar Jabatan Perancangan dan Pembangunan Yunnan State Farms Group, Yin Yudong. Yang turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab.

Organisasi ini menjalankan perniagaan produk pertanian seperti kopi, minyak, buah-buahan, sayur-sayuran, cendawan, bahan makanan segar dan beberapa produk lain. Selain itu, organisasi ini juga menjalankan perniagaan di peringkat global dengan negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Timur Tengah, Amerika Selatan dan Eropah dengan berperanan sebagaimana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Malaysia. Yunnan State Farms Group telah menubuhkan cawangannya ini di bandar raya lain termasuklah Shanghai, Dubai dan Singapura bagi tujuan meluaskan lagi perniagaan dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut dipersembahkan dengan tayangan video korporat pengenalan mengenai organisasi ini yang menarik. Delegasi yang hadir dapat melihat sendiri proses bagi menghasilkan setiap produk pertaniannya sebelum dipasarkan di dalam negara serta yang akan di eksport ke luar negara.

Baginda kemudiannya berkenan meluangkan masa melawat Pasar Bunga Dounan di Dounan Village, Nanchenggong, Kunming yang merupakan satu daripada pasaran perdangangan bunga yang terbesar di Asia. Lebih daripada 500 kedai serta gerai bunga beroperasi di pasar ini yang menjual pelbagai spesies bunga tempatan termasuklah bunga ros, teratai dan bunga eksotik seperti Moth Orchids, Forget-Me-Nots, African Daises dan beberapa jenis bunga lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.