11 November 2023, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memulakan misi perdagangan dan pelaburannya ke Amerika Syarikat (AS) yang meliputi bandar Chicago, Seattle dan San Francisco dari 6 hingga 13 November yang menumpukan terhadap pelaburan berteknologi tinggi, pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi serta eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Menteri MITI, YB Senator Tengku Zafrul semasa mengetuai misi pelaburan MITI di Seattle, USA.

Menterinya, YB Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengetuai misi kementerian tersebut mulai 8 November dengan wakil peringkat tinggi daripada kementerian dan agensinya, iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Pertemuan perniagaan telah diatur dengan syarikat dalam sektor seperti aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E) termasuk semikonduktor, farmaseutikal, teknologi bateri kenderaan elektrik (EV), peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sektor tersebut dijangka meningkatkan kerumitan ekonomi pembuatan Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan membantu menjana limpahan perniagaan dengan nilai lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kualiti yang lebih baik di samping pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat.

Sepanjang misi tersebut, MITI akan mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama termasuklah Abbott Laboratories, Amazon Web Services, Amsted Rail, Boeing, Canadian Tire Corporation, Ford Motor Company, Global Agri-Trade Corporation, Hematogenix, Lam Research, Mondelez International, Nvidia, PerkinElmer dan Unigen Corporation.

Katanya, bersempena dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco dari 14 hingga 18 November 2023, akan turut diadakan pertemuan perniagaan yang diatur dengan wakil peringkat tinggi daripada syarikat seperti Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.

Misi Pelaburan dan Perdagangan MITI ke San Francisco dimulakan bersama dengan, sebuah syarikat pengoperasian dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), Unigen.

Menurut MITI, perdagangan dua hala Malaysia-AS berjumlah RM267.58 bilion pada tahun lalu, mewakili peningkatan 23.3% tahun ke tahun daripada RM216.97 bilion pada tahun 2021 dan AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia serta destinasi eksport ketiga terbesar.

“Produk E&E Malaysia membentuk peratusan terbesar atau 57.4% daripada jumlah nilai eksport ke AS, yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mengembangkan sektor bernilai tinggi yang lain yang juga banyak bergantung pada cip dan semikonduktor,” katanya.

Tambahnya, sehingga tahun 2022, nilai bersih FDI Malaysia dalam syer dari AS adalah sebanyak RM100.84 bilion, dengan RM77.74 bilion (77.1%) daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh sektor pembuatan. Sementara itu, bagi tempoh dari tahun 1980 hingga Jun 2023 pula, sejumlah 1295 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat AS telah diluluskan dengan jumlah pelaburan bernilai RM123.58 bilion dan menjana pekerjaan untuk 308,310 orang di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.