9 November 2023, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.7 bilion yang meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun pada September 2023. DOSM menjelaskan nilai jualan menokok 0.1 peratus berbanding Ogos 2023. Bagi perbandingan suku tahunan, perdagangan borong dan runcit mencatatkan jualan bernilai RM424.9 bilion pada suku ketiga, tumbuh 6.8 peratus tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa peningkatan sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun pada September 2023 disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.9 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM64.2 bilion. Perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 5.9 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM61.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 7.0 peratus atau RM1.1 bilion untuk berada pada RM17.5 bilion.

Beliau menambah bahawa peningkatan marginal 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya disokong oleh perdagangan runcit yang berkembang 0.9 peratus atau RM0.5 bilion, diikuti oleh perdagangan borong dengan 0.5 peratus atau RM0.3 bilion. Walau bagaimanapun, kenderaan bermotor merosot 3.6 peratus. Pertumbuhan 6.9 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong disumbangkan oleh pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.0 bilion atau 8.6 peratus kepada RM25.1 bilion.

Tambah beliau, mengenai subsektor perdagangan runcit, kenaikan 5.9 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 8.9 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM23.2 bilion. Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.0 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 17.2 peratus atau RM0.7 bilion untuk merekodkan RM4.6 bilion. Hal ini diikuti oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (18.6 peratus) dan jualan kenderaan bermotor (3.8 peratus).

Selain itu, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup 3.6 peratus, dipengaruhi oleh jualan kenderaan bermotor (-4.9 peratus); jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motorsikal (-8.6 peratus) serta jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (-1.2 peratus). Beliau berkata bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini merekodkan pertumbuhan 2.0 peratus tahun ke tahun pada September 2023 berbanding 1.0 peratus pada Ogos 2023.

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini naik 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya. Beliau turut menambah bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada September 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus. Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (5.9 peratus), perdagangan borong (5.7 peratus) dan perdagangan runcit (3.8 peratus). Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim pula menurun 0.5 peratus bulan ke bulan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.