Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus komited untuk memastikan pelaksanaan projek pelaburan dan perdagangan di Malaysia direalisasikan secepat mungkin.
Menurut menterinya, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Jawatankuasa Tindakan Pelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) telah pun ditubuhkan secara rasmi selepas pengumuman YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini dalam usaha mempercepatkan komitmen pelaburan dan perdagangan.
Beliau berkata bahawa terdapat lima fungsi utama JTPPP, iaitu membentangkan status terkini projek pelaburan dan perdagangan yang telah diumumkan bagi tujuan pemantauan, menyelesaikan isu serta cabaran yang dihadapi oleh para pelabur dan pengeksport bagi mempercepatkan pelaksanaan komitmen pelaburan langsung asing dan domestik, serta perdagangan antarabangsa.
Selain itu, JTPPP juga berfungsi bagi mengesyorkan cadangan mengenai langkah serta strategi yang bersesuaian dalam memudah cara perniagaan, mengurangkan karenah birokrasi dan melancarkan perjalanan pelabur bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi secara pantas dan tuntas.
Tambah beliau, fungsinya jawatankuasa tersebut juga adalah untuk menyelaras dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua kementerian atau agensi di peringkat Persekutuan dan negeri dalam menyelaras perkara berkaitan dengan pelaburan dan perdagangan di Malaysia.
Katanya, JTPPP akan memastikan kesemua projek pelaburan dan perdagangan strategik serta ikonik adalah selari dan bertepatan dengan dasar semasa yang berkaitan termasuklah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR), dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama JTPPP pada 16 Oktober 2023 lalu yang membincangkan tugas pelaksanaan bagi inisiatif yang telah diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu, iaitu Projek Pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dan cadangan pembangunan Kerian Integrated Industrial Park (KIIP) dengan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.
Dalam mesyuarat yang sama juga, JTPPP telah membincangkan status terkini pelaburan asing dan domestik yang masih dalam proses pelaksanaan. Beliau berkata bahawa JTPPP bertanggungjawab untuk melaporkan status pelaksanaan projek pelaburan dan perdagangan tersebut kepada Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.