22 Oktober 2023, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Ekonomi menyatakan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3 peratus berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

Kementerian itu menjelaskan anggaran prestasi mengikut sektor menunjukkan pertumbuhan disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan dengan aktiviti pelancongan memperlihatkan pemulihan selain kemajuan pelaburan dan pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan MyDIGITAL 5G. Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang pada kadar 4.0 peratus bagi 2023 berdasarkan prestasi semasa ekonomi dunia dan pencapaian separuh pertama tahun ini.

Anggaran yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 telah mengambil kira jangkaan pertumbuhan suku ketiga 2023 yang dalam lingkungan anggaran pertumbuhan ini. Bagi tahun 2024 pula, ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan  antara 4.0 peratus dengan 5.0 peratus dengan disokong oleh persekitaran luar yang semakin pulih dan jangkaan permintaan domestik lebih baik. Kementerian menekankan bahawa keadaan pasaran buruh dijangka stabil dengan tumpuan turut diberi untuk meningkatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan berterusan projek infrastruktur serta strategi dan inisiatif mengikut dasar utama kerajaan.

Selain itu, kerajaan akan terus memastikan ekonomi negara berkembang dan kesejahteraan rakyat akan terus diberi keutamaan dengan pelaksanaan strategi yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara bagi mengembangkan saiz dan mengembalikan ekonomi ke landasan yang sebenar.

Ekonomi akan distrukturkan semula bagi mempercepat peralihan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia. Selain itu, anjakan besar juga dilaksanakan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perusahaan sosial, memperkukuh jaringan pengangkutan awam dan memastikan ketersediaan bakat masa hadapan. Tumpuan akan turut diberi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam industri berasaskan teknologi bagi merangsang pertumbuhan sektor dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.