Diterbitkan pada 20 Oktober 2023, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – SHT Engineering Sdn Bhd menyalurkan sumbangan kebajikan bernilai RM 50,000 kepada Tabung Pusat Pendidikan dan Latihan Autism (A-Heart) Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan RM 50,000 kepada Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE).

Penyerahan tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam satu Majlis Kesyukuran yang diadakan di Cashmere & Silk Ballroom, Zenith Hotel. Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Urusan SHT Engineering Sdn Bhd, Hj Muhammad Aiman Loh Abdullah. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Muhammad Aiman Loh kepada Pakar Bius Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya yang mewakili A-Heart YTSP Perlis; dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran selaku Penasihat FCoEE.

SHT Engineering Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang menawarkan rangkaian komprehensif teknologi canggih dan penyelesaian teknologi maklumat serta komunikasi untuk memenuhi pelbagai aplikasi dan keperluan lain. Syarikat ini turut menyediakan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu kepada pelbagai industri termasuk tenaga, minyak dan gas, utiliti, telekomunikasi, kerajaan, perbankan dan kewangan. Majlis pada malam itu turut diserikan lagi dengan sesi perkongsian ilmu oleh Masitah Mohd Afandy, pempengaruh Tik Tok dan CEO NM Aircond dan persembahan oleh Kumpulan Gambus Al Hilal dari Muar Johor.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menaungi FCoEE dan Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah selaku Penaung A-Heart menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan oleh pihak SHT Engineering Sdn Bhd yang amat prihatin dan menitikberatkan aktiviti sosial dan kebajikan masyarakat. Titah baginda, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam bidang pendidikan di negeri Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi