Diterbitkan pada 18 Oktober 2023, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memaklumkan bahawa Belanjawan 2024 bakal merancakkan ekonomi digital Malaysia dan melonjakkan negara ke sempadan digital baharu.

MDEC menambah bahawa selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diumumkan baru-baru ini, Belanjawan 2024 memperkenalkan langkah komprehensif untuk menyokong syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan dalam usaha mendigitalkan perniagaan mereka. Penambahbaikan strategik ini turut melengkapkan rangka kerja sokongan NIMP 2030 yang menampilkan insentif cukai untuk syarikat pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi. Selain itu, mekanisme pembiayaan untuk pelabur antarabangsa dalam sektor pembuatan serta elektrik dan elektronik akan melonjakkan peluang kerjaya dalam sektor ekonomi digital.

MDEC mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM165 juta bagi memperkukuh industri PMKS melalui inisiatif seperti geran digital, program Shop Malaysia Online untuk perniagaan dalam talian dan pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Peruntukan ini juga sejajar dengan matlamat menyeluruh MDEC untuk meningkatkan daya saing melalui automasi dan pendigitalan serta memangkin pertumbuhan perniagaan.

Selain itu, MDEC menambah bahawa peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi merintis penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu penanda aras ke arah memupuk bakat pembangunan AI dan penghasilan kandungan digital. Insentif peruntukan sebanyak RM30 juta pula akan menjadi pemangkin kepada pembangun permainan global yang berpangkalan di Malaysia sekali gus dapat menggalakkan penciptaan harta intelek (IP) tempatan baharu. Tambahan dana sebanyak RM60 juta yang diperuntukkan untuk Dana Kandungan Digital khusus membantu mempromosikan IP tempatan agar dapat merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi