Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan bahawa inisiatif peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 akan dilaksanakan melalui peruntukan RM1.6 bilion levi pembangunan manusia bagi 1.7 juta tempat latihan.
KSM turut menambah inisiatif itu dilaksana kementerian melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang komited memangkin pembangunan modal insan menerusi inisiatif peningkatan kemahiran dan kemahiran semula. HRD Corp juga akan menjayakan Program Latihan MADANI menerusi pewujudan dana khas seperti pengasingan 15 peratus daripada sebahagian caruman levi majikan yang tidak diguna pakai oleh majikan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh HRD Corp seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001.
Dana khas ini akan digunakan untuk menyokong usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta akan membantu golongan rentan seperti bekas banduan, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pesara. Selain itu, KSM menyatakan bahawa Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjumlah RM180 juta akan menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti program persijilan kemahiran.
Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga menerima lebih RM200 juta untuk memperkasakan jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh.
Peruntukan dana daripada Belanjawan 2024 itu antara lain untuk pelaksanaan enam inisiatif termasuk pengenalan dua inisiatif baharu, iaitu memudahkan integrasi kumpulan sasaran ke sektor awam dan peningkatan siling gaji dinsuranskan dari RM5000 ke paras baharu iaitu RM6000 untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017 (Akta 800).
Kenaikan siling gaji diinsuranskan ke paras baharu ini akan berkuat kuasa selepas pindaan terhadap kedua-dua peruntukan akta berkenaan sekali gus dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan. KSM turut menambah dasar pengambilan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) satu peratus akan diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan di pelbagai kementerian, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategik kerajaan.
Peruntukan RM70 juta disediakan dalam Belanjawan 2024 bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran melalui pelaksanaan Program Academy in Industry (AIL) yang menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan. Selain itu, dana sebanyak RM17 juta disediakan untuk melaksanakan program Tahfiz TVET. Program ini akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.