11 Oktober 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar pembukaan semula Terminal Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kuala Perlis dipertimbangkan. Hal ini berikutan adalah Kuala Perlis pernah menjadi destinasi pilihan utama untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas dan makanan bagi masyarakat Melayu Muslim Thailand di sekitar Satun, terutamanya dari Thamalang, Pulau Panjang dan Puyu.

Sejak ditutup akibat pandemik COVID-19, kegiatan ekonomi mikro Kuala Perlis difahamkan menjadi perlahan. Pembukaan semula pintu masuk ini diharapkan dapat membantu merancakkan kembali aktiviti ekonomi Perlis, khususnya di Kuala Perlis. Baginda bertitah agar para pengusaha atau syarikat yang terlibat dalam perusahaan mikro mengusulkan cadangan tersebut kepada pihak kastam dan imigresen agar permohonan tersebut dapat diuruskan dengan kadar segera.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi yang berkenaan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi kemaslahatan rakyat negeri Perlis khususnya dalam sektor ekonomi.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Tuanku Raja Muda Perlis selepas Program Kayuhan Peduli bersama-sama JKDM 2023 yang dianjurkan oleh JKDM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Taman Perumahan Kastam Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sazali Mohamad. Turut hadir termasuklah Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Perkastaman), Datuk Aidit Tajudin, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Pengurusan), Nasaruddin Abdul Muttalib dan Penolong  Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah.

Datuk Sazali dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa peranan dan tanggungjawab JKDM sebagai pentadbir cukai tidak langsung di negara ini tidak hanya untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas perundangan semata-mata. Sebaliknya, JKDM juga berperanan untuk membantu pelanggan luar mendapat kefahaman yang baik tentang cukai sekali gus meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan mereka.

Pungutan HASiL JKDM sehingga 30 Julai 2023 adalah sebanyak RM41.692 bilion, manakala unjuran pungutan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM52 billion.

“JKDM sangat komited dalam membuat penambahbaikan secara berterusan, khususnya bagi perkara yang melibatkan aspek perundangan, dasar mahupun polisi antara semua pihak yang terlibat bagi mencapai hasrat serta meraih aspirasi program. Hal ini sekaligus mencorakkan peningkatan ekonomi negara melalui perdagangan utama dunia,” tambah beliau lagi.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyaksikan penyempurnaan simbolik penyerahan beras oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Sazali kepada Ketua Unit Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Mohamad Najdi Mohd Noor. Pihak MAIPs menerima sumbangan beras sebanyak 515 kilogram dan akan disalurkan kepada para asnaf dan golongan yang memerlukan di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar para penjawat awam, khususnya JKDM akan terus berkhidmat dengan cemerlang bagi memastikan kutipan hasil negara dapat ditadbir urus dengan kaedah paling baik dan memastikan ketirisan hasil negara tidak sekali-kali berlaku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.